Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Isnin, Julai 18, 2011

Permohonan Program Matrikulasi 2012/2013

Permohonan Program Matrikulasi 2012/2013 telah dibuka untuk calon-calon SPM 2011 mulai 1 Julai 2011 hingga 10 Oktober 2011.

SILA BACA PANDUAN MENGISI BORANG PMI TERLEBIH DAHULU

KELAYAKAN PERMOHONAN


Pemohon mestilah pelajar bumiputera warganegara Malaysia yang berumur tidak melebihi 20 tahun pada 1 Januari 2012 dan menghantar borang permohonan sebelum atau pada 10 Oktober 2011. Pelajar juga perlu mendaftar dan mengambil mata pelajaran berikut dalam Peperiksaan SPM tahun 2011.

Bagi mengikuti Jurusan Sains (M001) :

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Fizik atau Biologi.

Bagi mengikuti Jurusan Perakaunan (M003) :

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan dan mana - mana dua mata pelajaran daripada Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Perdagangan, Pengajian Keusahawanan, Sains, Sains Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Mata Pelajaran Teknik (Pengajian Kejuruteraan Awam / Pengajian Kejuruteraan Mekanikal / Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik / Teknologi Kejuruteraan / Lukisan Kejuruteraan).

Bagi mengikuti Aliran Teknikal (M007) :

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik, dan mana-mana satu mata pelajaran daripada Pengajian Kejuruteraan Awam / Pengajian Kejuruteraan Mekanikal / Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik / Teknologi Kejuruteraan.


Catatan :

Pelajar bukan bumiputera warganegara Malaysia dari sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan juga boleh memohon Program Matrikulasi.




Latar Belakang

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan Bahagian Matrikulasi pada 1 September 1998 untuk penyeragaman semua Program Matrikulasi/Asasi yang selama ini dikendalikan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pada sesi 1999/2000, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia telah memulakan Program Matrikulasi bagi lulusan SPM 1998.

Mulai sesi 2000/2001, semua Program Matrikulasi kecuali UIAM dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Konsep

Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta.

Tempoh pengajian prauniversiti ini mengambil masa dua (2) semester. Kurikulum program ini memberi penekanan terhadap aspek akademik dan tidak mengabaikan aspek kokurikulum.

Di samping menyediakan pelajar yang berilmu dan berketrampilan, pelajar juga perlu mempunyai ciri kualiti diri yang terpuji dan daya kepimpinan yang tinggi.

Semua pelajar program ini mengikuti sukatan pelajaran dan kaedah penilaian yang sama. Pemilihan pelajar ke universiti hanya dibuat selepas lulus Program Matrikulasi.

Tempat Pengajian

Mulai sesi 2003/2004, Program Matrikulasi dijalankan di Kolej-Kolej Matrikulasi dan Kolej MARA sahaja. Senarai Kolej Matrikulsi Kementerian Pelajaran Malaysia boleh diperoleh dalam Direktori Institut.

Bidang Pengkhususan

Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan tiga(3) jurusan pengajian:

1.Sains (Kod M001)

2.Perakaunan (Kod M003)

3.Teknikal (Kod M007)

Rancangan Program

a) Jangka Masa Program

•Program Satu Tahun (2 Semester)

Pelajar yang terlibat dalam PST terdiri daripada pelajar Jurusan Sains, Jurusan Perakaunan dan Jurusan Teknikal. Seperti yang diterangkan sebelum ini, pelajar daripada aliran Sains akan dipecahkan kepada tiga modul seperti yang disebutkan di atas. Setiap Modul adalah berdasarkan Jurusan Sains Hayat dan Sains Fizikal yang pernah dilaksanakan sebelum ini. Walaubagaimanapun, kedua jurusan tersebut digarap dengan mata pelajaran Sains Komputer sebagai tambahan.

•Program Dua Tahun (4 Semester)

Program ini mempunyai tempoh pengajian sebanyak empat semester. Walaubagaimanapun, hanya Jurusan Sains sahaja yang terlibat. Tiga modul seperti yang disebutkan di atas masih wujud cuma tempoh pengajian dipanjangkan sebanyak setahun lagi menjadikannya sebanyak dua tahun. Ini adalah bagi pelajar yang mempunyai keputusan yang kurang baik tetapi masih ingin mengikuti pengajian di peringkat Matrikulasi di Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaubagaimanapun, program ini hanya untuk pelajar Bumiputera sahaja.

b) Mata Pelajaran Teras

•Jurusan Sains

Modul I : Matematik, Kimia, Fizik, Biologi

Modul II : Matematik, Kimia, Fizik dan Sains Komputer

Modul III : Matematik, Kimia, Biologi dan Sains Komputer

•Jurusan Perakaunan

Matematik, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan dan Ekonomi

•Aliran Teknikal

Matematik, Kimia Kejuruteraan, Fizik Kejuruteraan, dan Pengajian Kejuruteraan



Di samping mata pelajaran bidang pengkhususan, mata pelajaran berikut wajib diambil oleh semua pelajar:-

- Bahasa Inggeris

- Kemahiran Dinamika

- Pendidikan Islam/Moral

- Teknologi Maklumat

- Kokurikulum


Semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia diwajibkan mengambil satu daripada mata pelajaran kokurikulum berikut:-

- Sukan/Permainan atau

- Persatuan/Kelab atau

- Kawat Kaki

Penilaian

Berdasarkan Penilaian Berterusan (PB), Ujian Pertengahan Semester (UPS) dan Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM).

Pembiayaan

Pelajar Program Matrikulasi dibiayai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Peluang Melanjutkan Pengajian

Pelajar yang memperolehi PNGK 2.00 (gred C) dan ke atas boleh dipertimbangkan untuk ke IPTA

a) Jurusan Sains

•Perubatan

•Pergigian

•Bio Perubatan

•Bio Fizik

•Farmasi

•Sains Aktuari

•Sains Tulen

•Sains Gunaan

•Sains Komputer / Teknologi Maklumat

•Sains Pendidikan

•Kejuruteraan

•Seni Bina dan bidang lain yang berkaitan


b) Jurusan Perakaunan

•Perakaunan

•Ekonomi

•Pengurusan Perniagaan

•Undang-Undang

•Teknologi Maklumat

•Pentadbiran Perniagaan / Pentadbiran Awam

•Pengurusan Sumber Manusia dan bidang lain yang berkaitan

Ahad, Julai 17, 2011

Kem Modul 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.... Salam Satu Malaysia! Sudah agak lama saya tidak menulis dek kekangan masa, dan tugasan luar yang pelbagai. Terlibat dengan pelbagai aktiviti kaunseling, mesyuarat, seminar peringkat daerah Tampin & Negeri Sembilan, menguruskan Catur MSSM Daerah Tampin dan Negeri Sembilan, serta yang terkini terlibat dengan Kejurulatihan Daerah Modul Kem 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia (1M 1S 1M) peringkat Negeri Sembilan yang dianjurkan di Klebang Beach Resort, Melaka baru-baru ini. Setiap daerah diwakili oleh 12 orang guru  lelaki dan perempuan dari pelbagai bidang sukan (termasuklah seorang Guru Kaunseling) sebagai Jurulatih Daerah masing-masing
.
Apa kena mengena Guru Kaunseling dengan 1M 1S 1M? Itu jugalah yang diajukan oleh Pengetua dan rakan-rakan guru sama ada di sekolah mahupun rakan-rakan guru yang terlibat sama terpilih sebagai Jurulatih Daerah dalam Modul Kem 1M 1S 1M ini. Saya dan rakan-rakan dimaklumkan bahawa beberapa orang Guru Kaunseling yang mewakili setiap daerah ini dipilih dan dikenalpasti berdasarkan penglibatan secara langsung dalam aktiviti sukan sama ada peringkat daerah, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan.

Peranan Guru Kaunseling diperlukan dalam Kem Modul 1M 1S 1M ini sebagai pencetus semangat dalam mengendalikan sesi 'ice-breaking' yang merupakan langkah pertama dalam memupuk semangat perpaduan dan mengenepikan rasa rendah diri yang menjadi tembok batu yang menghalang seseorang murid daripada terlibat dengan sebarang aktiviti sukan di sekolah.

Apakah dia Kem Modul 1M 1S 1M ini? Kem ini adalah merupakan kesinambungan aktiviti yang diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (Menteri Pelajaran) untuk menggalakkan murid-murid terlibat dengan sukan demi untuk kecergasan dan kesihatan. Terdapat beberapa sukan teras yang menjadi tumpuan dalam memupuk minat penglibatan murid, antaranya bola sepak, badminton, sepak takraw, bola jaring dan hoki. Malah, setiap sekolah telahpun disalurkan peruntukan untuk setiap murid, iaitu RM4/murid untuk sekolah rendah, manakala RM6/murid untuk sekolah menengah. Peruntukan ini diberikan adalah bertujuan untuk melihat program 1M 1S 1M ini dilaksanakan. Malah, dimaklumkan bahawa sekolah-sekolah akan dipantau oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia kerana peruntukan besar yang telah disalurkan. SMK Gemas tidak terkecuali.

Di peringkat Negeri Sembilan, setiap daerah akan menganjurkan 2 kem, iaitu satu kem untuk sekolah rendah, dan satu lagi kem untuk sekolah menengah. Setiap sekolah akan diminta untuk menghantar 1 atau 2 orang guru dan 4 orang murid (yang kurang terlibat dengan sukan) untuk mengikuti kem ini. Modul-modul sukan yang dibentuk untuk kem ini adalah bertujuan menarik minat murid-murid tersebut menyertai aktiviti sukan dan seterusnya membantu guru yang turut menyertai kem tersebut untuk menyebarkannya pula di sekolah masing-masing.

Pelaksanaan sukan untuk 1M 1S 1M ini memfokuskan kepada murid-murid yang kurang terlibat dengan sukan di sekolah-sekolah. Justeru, kerana itulah pelaksanaannya di sekolah-sekolah adalah disarankan agar diadakan selain hari Rabu (Ko-kurikulum). Aktiviti-aktivitinya pula lebih kepada mengajar asas permainan sukan-sukan terpilih tanpa melibatkan undang-undang sedia adanya. Sukan-sukan terpilih tersebut diubahsuai mengikut keluasan ruang dan tahap skil murid yang rendah.