Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Khamis, Julai 15, 2010

Adakah kita bersyukur?

Kita dilahirkan cukup sifat fizikal, punya tangan dan kaki, namun... acapkali kita sering menyalahgunakannya. Seandainya kita dilahirkan sebagai lelaki ini, adakah kita akan 'cekal berdiri gagah' atau putus asa dan menyerahkan segala-galanya kepada takdir Tuhan?

Jumaat, Julai 09, 2010

Cinta atau Kawan?

Dewasa ini, sama ada di kota raya, kampung, ataupun di kawasan pedalaman, murid sekolah menengah terdedah dengan budaya bercinta 'semasa masih sekolah' (cinta SMS). Tidak mengejutkan jika turut didapati ada murid sekolah rendah yang sudah didapati bercinta.

Cinta SMS ini boleh digolongkan kepada 3 kategori; Cinta Tulus, Cinta Monyet dan Cinta Nafsu. Tidak ramai murid yang tergolong dalam kategori Cinta Tulus, tetapi ramai yang mengalami Cinta Monyet semasa bersekolah. Agak menyedihkan apabila ramai juga yang terjerumus dalam Cinta Nafsu, lantaran tidak mampu mengawal emosi sendiri dan ada juga yang menjadi mangsa kepada pasangan masing-masing.

Cinta Tulus adalah perasaan cinta yang wujud pada seseorang terhadap seseorang yang lain secara luhur dan ikhlas. Tidak ada niat lain yang terselindung selain untuk melihat kegembiraan pasangannya dan sama-sama berusaha untuk menjayakan perasaan cinta tersebut dengan restu keluarga masing-masing. Murid sekolah yang tergolong dalam kategori Cinta Tulus ini lazimnya tidak terpesong fokusnya terhadap pencapaian akademiknya, malah perasaan cinta yang hadir menjadi pendorong dan pencetus untuk dirinya lebih berjaya agar menjadi kebanggaan kekasih hati.

Malah, apabila seseorang murid itu memperolehi Cinta Tulus semasa di sekolah, keikhlasan pasangan dalam menjaga perhubungan dengan mengawal tingkahlaku agar tidak melampaui batas sangat dikagumi serta dihormati oleh pasangannya. Oleh sebab itulah, hubungan pasangan Cinta Tulus ini lazimnya berakhir dengan ikatan perkahwinan setelah masing-masing mempunyai pekerjaan yang menyakinkan pasangan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing kelak apabila bergelar suami dan isteri.

Cinta Monyet pula dialami oleh ramai murid semasa melalui zaman persekolahan, khususnya ketika di sekolah menengah. Semuanya bermula dari pandangan mata, yang lazimnya berlaku pada murid-murid yang mempunyai raut wajah yang cantik dan tampan serta bentuk badan yang menarik. Perkenalan dimulakan dengan kiriman salam melalui kawan-kawan, kiriman nota, surat, bertukar-tukar nombor telefon, alamat emel, blog, facebook, twitter, digger dan sebagainya.

Kebiasaannya, murid yang mengalami Cinta Monyet ini akan sedikit sebanyak mengalami perubahan tingkahlaku dan sikap. Jika sebelum ini agak pendiam, mungkin menjadi lebih ceria. Jika sebelum ini berjalan dan melakukan aktiviti dengan rakan sesama jantina, murid yang mengalami Cinta Monyet ini mulai menjarakkan diri atas alasan inginkan privasi. Kekerapan menggunakan SMS, bil penggunaan telefon meningkat dan kekerapan menggunakan internet menjadi penunjuk utama perubahan ini. Walau bagaimanapun, lazimnya, Cinta Monyet ini tidak sampai ke mana kerana masing-masing takut untuk mengambil langkah seterusnya berterus-terang pada keluarga dan kawan-kawan masing-masing, dan akhirnya terputus begitu sahaja apabila masing-masing atau salah seorang membawa haluan masing-masing atau melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Cinta Nafsu pula seperti yang pernah dituliskan dalam artikel sebelum ini dalam kiriman blog terdahulu, adalah bercirikan nafsu semata-mata, sama ada oleh salah seorang pasangan, ataupun kedua-duanya. Cinta yang dilafazkan kepada pasangan mengandungi maksud terselindung untuk mengambil kesempatan terhadap kepercayaan yang diberikan oleh pasangan masing-masing, sama ada berbentuk habuan seks ataupun mengikis kewangan pasangan. Akhirnya, pasangan mereka menjadi mangsa nafsu serakah mereka yang bertuankan nafsu ini. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Cinta Nafsu, anda semua bolehlah merujuk kepada artikel Cinta atau Nafsu dalam kiriman blog terdahulu (bulan April).

Kesimpulannya, murid sekolah perlulah bijak dalam menguruskan perasaan masing-masing. Tidak ada kesalahan untuk menyayangi seseorang kerana rasa cinta itu adalah suci selagi ia tidak dicemari dengan nafsu yang tidak terkawal. Cinta yang teragung ialah rasa cinta terhadap Allah dan diikuti rasa cinta serta rindu kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Cinta kepada manusia perlulah ditimbangkan sebaik-baiknya agar tidak tersalah membawa haluan. Cinta kepada ibu dan bapa perlu didahulukan selagi mereka tidak membawa kepada melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah (bergantung kepada status anak perempuan).

Fikir-fikirkanlah...