Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Selasa, Disember 27, 2011

Perubahan Tahun 2012

Salam untuk semua...

Kehadiran 2012 ternyata menuntut perubahan. Pertama sekali, selamat mendaftar untuk murid-murid yang bakal meneruskan pengajian di Tingkatan 1 di SMK Gemas. Selamat menjadi warga SMK Gemas.

Kepada murid-murid yang merupakan calon-calon peperiksaan PMR 2012, tanggungjawab dibahu anda untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai oleh rakan-rakan anda calon-calon PMR 2011. Cabaran untuk anda sebenarnya membuktikan bahawa anda akan cuba mendapatkan keputusan yang terbaik. Bukan semata-mata untuk sekolah, tetapi untuk diri anda sendiri!

Begitu juga untuk calon-calon SPM 2012, selamat menempuh tahun ini dengan azam yang jitu dan semangat yang membara. Inilah tahunnya untuk anda lakukan sesuatu untuk masa depan anda yang masih panjang. Jangan biarkan setahun ini menjejaskan masa depan anda. Tanamkan tekad untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam SPM dan sekaligus berjaya menempatkan diri di IPTA/IPTS dalam mahupun luar negara, mengejar cita-cita yang anda idamkan.

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal untuk semua. Blog ini akan diuruskan oleh pentadbiran baru atas sebab perpindahan. Maaf atas segala salah silap...

Assalamualaikum... Semoga Berjaya!

Khamis, Disember 22, 2011

Tahniah Pelajar Cemerlang PMR 2011

Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Gemas mengucapkan tahniah kepada para pelajar Tingkatan 3 Tahun 2011 yang telah pun diumumkan pada 22 Disember 2011 (Khamis). Seramai 177 calon telah mengambil PMR 2011 dan berikut adalah senarai nama 23 orang pelajar yang telah mendapat 5A hingga 8A:

Bil.                    Nama                                                                                      Keputusan Penuh
1.         KHOO YEE BIN                                                                                         8A
2.         SHAMSUL ANUAR BIN DZULKIFLI MOHAMAD                                 8A
3.         AMIRAH ADABIAH BT. RUMZISHAM                                                  7A 1B
4.         CHAI CHANG XIAN                                                                                7A 1B
5.         CHE DANIAL KHAN BIN CHE ZUHA                                                   7A 1B
6.         NADIA SYAHIERA BT. MOHAMAD SALLEH                                      7A 1B
7.         NURLIYANA BT. MD. ALI HANAFIAH                                                 7A 1B
8.         PAU YING YEN                                                                                        7A 1B
9.         SAN YON KANG                                                                                     7A 1B
10.       SITI UMIRAH BT. MOHD. NOR                                                             7A 1B
11.       TAN YEN TYNG                                                                                      7A 1B
12.       GOH WAN XIN                                                                                        6A 2B
13.       LIM HUI JING                                                                                           6A 2B
14.       MAYNAKA A/P RAVICHANDRAN                                                       6A 2B
15.       MOHAMAD IDHAM BIN SAMAD                                                         6A 2B
16.       NURWAFA HUDA BT. KAMAL                                                             6A 2B
17.       IFFAH IMANINA BT. ZAHED                                                                 5A 3B
18.       NUR ASHIKIN BT. JOHARI                                                                    5A 3B
19.       SUHAIDA BT. SUPAAT                                                                           5A 3B
20.       TEO SHUI XIAN                                                                                       5A 3B
21.       HANA SUHANA BT. AB HALIM                                                         5A 2B 1C
22.       MUHAMAD NURJUFRI  BIN MOHAMAD                                         5A 2B 1C
23.       SOON ZU CONG                                                                                5A 2B 1C 1E

Selasa, Disember 20, 2011

Rantaian Kebaikan yang dipanjangkan...


Bayangkanlah kebaikan yang ibarat rantaian yang sentiasa ada hubungkait jika dipraktikkan dalam kehidupan, pasti akan memberi seribu makna kepada orang yang dibantu...

Kepada warga SMK Gemas dan para pembaca, lakukanlah sekurang-kurangnya 1 kebaikan sehari, pasti ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan puluhan atau mungkin jutaan orang yang lain dalam rantaian kebaikan yang tercipta. Insya'Allah

Isnin, Disember 12, 2011

Seminar Penyalahgunaan Dadah 2011

Alhamdulillah... semasa cuti sekolah baru-baru ini, iaitu pada 10 Disember 2011 (Sabtu), saya berpeluang untuk mengikuti Seminar Penyalahgunaan Dadah 2011,bertempat di Auditorium Fakulti Kejuruteraan UPM.

Terdapat 3 slot pengisian ilmiah (bolehlah dikategorikan begitu) dalam seminar ini, iaitu:
8.30 - 10.00 pagi     Ceramah 1 (oleh ahli akademik)
10.30 - 12.00 t/hari  Ceramah 2 (oleh artis)
2.00 - 4.00 petang    Forum (oleh ahli akademik, NGO, dan artis)

Perlukah saya dedahkan artis yang terlibat? Hmm, rasanya tidak perlu. Yang penting apa yang disampaikan oleh mereka. Biarlah hanya mereka yang menyertai seminar ini yang tahu siapakah gerangan dua orang artis berkenaan.

Ceramah 1 oleh ahli akademik biasalah berkaitan jenis-jenis dadah, kesan-kesan, angka-angka dapatan kajian dan maklumat berkaitan dadah sepanjang kajian beliau. Perkara yang disampaikan oleh beliau adalah perkara yang lazimnya boleh didapati daripada bacaan dan carian internet dan sebagainya.

Saya lebih tertarik untuk berkongsi tentang isi Ceramah 2 - 'Ku Temui Jalan Pulang'. Kisah seorang artis popular yang dulu berkumpulan, kemudian bergerak solo dan mempunyai beberapa lagu hit yang pernah dan masih menjadi siulan dan nyanyian ramai hingga kini.

Beliau berkongsi pengalaman bagaimana beliau terlibat dengan dadah selama lebih kurang 10 tahun, bagaimana beliau terjebak, jumlah wang yang habis dibelanjakan sepanjang menagih dadah, faktor yang mendorong beliau untuk kembali ke pangkal jalan, dan nasihat beliau kepada remaja.

Istimewa untuk semua, khususnya warga SMK Gemas dan pembaca, artis ini adalah anak bongsu daripada 3 beradik dan kehilangan ibunya ke rahmatullah menjadi titik mula beliau terjebak. Bermula dengan ganja, beliau seterusnya beralih kepada heroin. Beratus ribu ringgit habis digunakan untuk dadah. Bayangkanlah penggunaan dadah sehari mencecah RM300 lebih. Namun begitu, beliau beruntung kerana kegiatan penagihan beliau tidaklah sampai ditangkap oleh pihak berkuasa kerana melakukannya di rumah dan diketahui oleh kakaknya. Demi kakaknya jugalah, beliau akhirnya bertemu pengurus beliau untuk pemulihan.

Kini, setelah 3 bulan dalam rawatan, beliau telah mendapat sedikit kekuatan dan masih dalam bimbingan. Asalnya, beliau sendiri takut dengan penerimaan masyarakat, khususnya golongan remaja yang mengenali beliau. Tapi, atas dasar ingin menyampaikan mesej JAUHI DADAH, beliau setuju untuk hadir.


Nasihat beliau kepada remaja, jauhilah rokok kerana ia permulaan asas penagihan. Lakukanlah aktiviti sihat dan janganlah segan untuk mendapatkan bantuan sekiranya terjebak.

Rabu, September 28, 2011

Selasa, September 20, 2011

Penyerahan Netbook 1 Malaysia

Tarikh : 19 September 2011 (Isnin)
Tempat : Dewan Besar Majlis Daerah Tampin- Gemas
Bilangan Murid SMK Gemas yang terima : 180 lebih kurang...
 
 

Pelbagai ragam dapat disaksikan semasa majlis penyerahan ini. Seperti tahun lepas, ada di kalangan murid yang sebelum ini memang lebih banyak ponteng sekolah, namun apabila mengetahui nama tersenarai sebagai penerima, hadir ke sekolah bertemu dengan guru penyelaras ICT. Malah, ada antara ibu bapa yang marah-marah apabila pada asalnya nama anaknya tersenarai, tetapi dibatalkan kerana hanya satu penerima dalam satu keluarga, dan setiap keluarga hanya terima sekali sahaja. Ada juga keluarga murid yang pernah tersenarai tahun lepas, tetapi apabila dibatalkan nama menyatakan bahawa netbook yang diterima tahun lepas telah rosak. Tak terlepas juga ada ibu bapa yang mengugut untuk memindahkan sekolah anak kerana kecewa nama anak digugurkan daripada senarai penerima. Sabarlah ya Cikgu Nurul Ilyana dan Cikgu Nuzuriyati melayan karenah murid-murid dan ibu bapa di SMK Gemas ni.


Hmm, itu belum lagi ada bapa (guru sekolah berjawatan) yang mengambil netbook bagi pihak anaknya yang memotong barisan murid. Di manakah letaknya kesantunan dan nilai murni yang ingin diterapkan kalangan murid? Entahlah...

 

Ibu bapa turut diminta untuk hadir bersama-sama dengan murid untuk menerima netbook tersebut... Jika dilihat secara kasar, memanglah tujuannya untuk meramaikan majlis. Bagus...




Walau bagaimanapun, ada niat yang terselindung di sebaliknya kerana jika diteliti secara mendalam, murid jugalah yang menguruskan sendiri segala-galanya - beratur, naik ke atas pentas, semakan borang di dua stesen kaunter, hinggalah mengaktifkan netbook yang diterima.


Di mana peranan ibu bapa yang diminta hadir sama? Sebenarnya, terdapat beberapa gerai yang menjual pelbagai aksesori berkaitan netbook yang diterima seperti beg-beg netbook yang pelbagai jenis dan warna (berharga antara RM30 - RM35), 'kipas' netbook (berharga antara RM10 - RM 30), usb port, pendrive 8GB dan beberapa lagi barang (berharga antara RM 10 - RM 35), dan yang paling utama, di sebalik pemberian percuma sim kad yang mempunyai nilai kredit RM 5 (seperti yang saya dengar daripada petugas di sana), modem dijual berasingan dengan harga RM 150. Secara peribadi, saya melihat di situlah peranan ibu bapa diminta... iaitu membeli barangan-barangan sampingan berkaitan netbook berkenaan.




Apa-apa pun, saya mengucapkan tahniah kepada semua murid sekolah menengah yang terpilih untuk menerima netbook untuk tahun ini. Untuk rekod, ini adalah pemberian netbook kali kedua di daerah Tampin - Gemas. Kali pertama penyerahan netbook untuk murid sekolah rendah dan sekolah menengah dilaksanakan pada tahun 2010 di beberapa lokasi berbeza (khusus di kawasan-kawasan Felda Jelai, Felda Bukit Jalor, Felda Bukit Rokan, Felda Sg. Kelamah dan Felda Pasir Besar), selaras dengan pelancaran Pusat Jalur Lebar di komuniti felda.

Gunakanlah sebaiknya kemudahan yang diberikan ini. Jangan disalahguna ye...

Rabu, September 14, 2011

Terpilih menjadi ahli 'CISM Team'

Program 'CISM Team' Negeri Sembilan



Pada 24 Mei 2011, hampir 40 orang ahli AKRAB Negeri Sembilan telah mengikuti Kursus Asas untuk 'CISM Team' di BPsK Putrajaya. Antara ahli AKRAB ialah dikalangan Kaunselor Organisasi PPD, Kaunselor Sekolah dan Ketua Unit di Jabatan. Kursus ini memberi pendedahan awal tentang tragedi yang mendatangkan perasaan trauma kepada mangsa dan peranan 'Cism Team' untuk membantu dari segi psikologi dan emosi.

Rabu, September 07, 2011

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat SMK Gemas 2011

Tarikh : 5 September 2011 (Isnin)
Tempat : Dataran Perhimpunan



Bersempena dengan Bulan Kemerdekaan, sesungguhnya tarikh keramat 31 Ogos membawa seribu satu maksud bagi kalangan insan yang memahami erti kemerdekaan dan kepayahan untuk memperolehinya. Justeru, SMK Gemas tidak ketinggalan untuk menyerapkan semangat mencintai kemerdekaan di kalangan murid-muridnya.

Walau bagaimanapun, masih ada segelintir murid yang tidak langsung memahami kebebasan yang dinikmati mereka hari ini. Kebebasan yang ada bukanlah bererti tidak perlu lagi melakukan perjuangan, tetapi tingkah laku yang positif, bersopan dan beradab perlu lebih diterapkan untuk kelangsungan menjiwai serta menghayati kemerdekaan dan seterusnya mempertahankan kebebasan yang ada ketika ini.

Ayuh, marilah kita menjadi warga Malaysia yang cintakan kemerdekaan dan menghargai erti kebebasan yang telah diperjuangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kita yang lalu. Janganlah biarkan diri kita terus dijajah secara halus oleh golongan 'opportunist' Barat yang sentiasa mengintai peluang untuk melebarkan pengaruhnya pada generasi pewaris kemerdekaan kita.

MERDEKA!  MERDEKA! MERDEKA!


Isnin, September 05, 2011

Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional 2012

Tarikh Tutup 19 DISEMBER 2011

Perhatian kepada murid-murid Tingkatan 3 yang bakal menduduki PMR 2011 :

Untuk maklumat lanjut sila klik pada tajuk di atas atau layari website www.apps.moe.gov.my/esptv/2011

Jumaat, Ogos 26, 2011

Program 3 Penjuru Percubaan PMR 2011

Tarikh : 25 Ogos 2011 (Khamis)      Tempat : Dewan Terbuka SMK Gemas        Masa : 1.00 - 2.40 petang








Program Gemilang 2012

Program Gemilang 2012 adalah merupakan perancangan awal pihak sekolah untuk menyediakan murid-murid yang diletakkan harapan agar cemerlang dalam PMR tahun 2012.

Murid-murid kelas 2 Berlian dipilih untuk mengikuti program ini berdasarkan prestasi semasa dalam setiap peperiksaan dan ujian yang dicapai sepanjang tahun 2011 dan 2012.

Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam Program Gemilang ini ialah ceramah motivasi, bengkel akademik, kelas tambahan petang, program bersama dengan pihak luar, teknik menjawab peperiksaan dan lain-lain lagi yang perlu untuk meningkatkan motivasi, semangat, pendedahan awal peperiksaan dan semangat persaingan di kalangan murid.
                                                                                                                                               
       
    
                                                                                                                                                       
            
                                                                                                                                                                
                                                                                                                                                                    
                                                                                                                                                                       
                                                                                                                                                                      
                                                                                                                                                                       
                                                                                                                                                                          
                                                                                                                                                                       
                                                                                                                                                                     


  



Selasa, Ogos 23, 2011

Takziah... Sabar dan Tabahlah Cikgu Alis...

Informasi terkini: Kami dimaklumkan bahawa ibu Cikgu Alis telah kembali ke rahmatullah pada 25 Ogos 2011 (Khamis), pada pukul 12.30 pagi di Hospital Kuala Pilah. Unit Bimbingan dan Kaunseling ingin merakamkan ucapan takziah kepada Cikgu Alis dan keluarga atas kehilangan yang dialami. Semoga roh allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat rahmat Allah.

Al-Fatihah...



Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Gemas ingin mengambil kesempatan dan peluang ini untuk mengucapkan kepada Cikgu Alis sekeluarga agar tabah dan bersabarlah tatkala menghadapi dugaan yang bertimpa - menghadapi ibu yang sakit di Hospital Kuala Pilah, dan baru-baru ini pula Cikgu Alis sendiri mengalami kemalangan apabila kereta yang dipandunya terbabas.

Saat-saat menghadapi ibu yang sedang sakit, sediakanlah diri menghadapi kematian kerana setiap yang hidup pasti akan tiba ke penghujungnya. Banyakkan amalan bacaan Yaasin semoga 'khasiat bacaan Yaasin' itu akan memberikan kesan kepada ibu yang sedang sakit. Yakinlah pada-Nya. Tenangkanlah diri dengan zikir munajat kepada-Nya. Mohonlah kepada Allah kerana Allah suka mendengar hamba-Nya meminta daripada-Nya. Insya'Allah akan dimakbulkan... sesungguhnya Allah maha pengasih lagi maha penyayang.

Sesungguhnya Allah menguji setiap umatnya untuk menilai tahap tingkatan iman seseorang. Ketahuilah, ujian Allah diturunkan mengikut kemampuan individu. Wallahualam...

Isnin, Ogos 22, 2011

Menjelang Syawal... Menghitung Tarikh PMR / SPM


 
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Saat saya menulis artikel ini, umat Islam di Malaysia berada pada malam Ramadhan yang ke-23. Salah satu malam ganjil dalam 10 malam terakhir. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan kesihatan hingga detik ini untuk terus hidup di muka bumi Allah yang luas ini dengan satu tujuan... beribadat ke atasNya dalam apa jua yang dilakukan.

Dalam 10 hari terakhir ini, umat Islam kelihatan berbondong-bondong ke toko-toko besar, pasaraya-pasaraya, pasar-pasar malam, uptown, downtown, kedai-kedai dan lain-lain tempat untuk berbelanja membeli keperluan, pakaian dan perhiasan sempena menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang. Tanpa mengira usia, baik tua mahupun muda, semuanya kelihatan sibuk berbelanja. Apatah lagi dengan pemberian imbuhan ikhlas setengah bulan gaji oleh kerajaan kepada kakitangan awam, merancakkan lagi perancangan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Bapa-bapa sibuk membelek kenderaan masing-masing. Ada yang menghantar servis, menukar tayar dan rim, menambah aksesori kenderaan dan lain-lain lagi. Tidak kurang juga yang menukar cat rumah masing-masing, menambah keluasan rumah, memasang 'tiles', 'plaster ceiling', 'kitchen cabinet' dan macam-macam lagi.

Ibu-ibu pula sibuk menyediakan persiapan baju raya, kuih raya dan hiasan raya. Beberapa bulan sebelum Ramadhan, kain-kain telah terlebih dahulu dihantar kepada tukang jahit untuk menempah baju raya. Bagi yang menjahit sendiri baju, ruang tamu rumah bersepah dengan bidang-bidang kain pelbagai corak, buku-buku fesyen, benang, mesin jahit, pita ukur, pin baju dan segala yang berkaitan dengan jahitan...
              Manakala para ibu yang menyediakan hidangan kuih raya, dapur-dapur dipenuhi dengan segala jenis tepung, telur, pewarna, mangkuk, acuan kuih, oven dan lain-lain... sanggup berjaga hingga ke awal pagi untuk menyiapkan tempahan biskut-biskut (bagi yang mengambil tempahan biskut).
              Bagi kalangan yang mempunyai bajet lebih, fokus pastilah untuk menghias rumah dengan menukar langsir, sarung kesyen, set sofa dan sebagainya. Hiasan rumah mengikut citarasa dan kemampuan kewangan masing-masing.

Anak-anak pula dengan cara tersendiri dalam menyambut Syawal pada hari-hari terakhir Ramadhan ini. Saat ibu bapa leka dengan 'keasyikan' masing-masing, anak-anak mengambil kesempatan dengan bermain mercun, bunga api dan meriam buluh. Tidak dilupa juga kalangan anak muda yang berlumba haram dan 'berembun' dengan pasangan masing-masing hingga berakhir di hotel-hotel dan rumah-rumah tumpangan.

Di manakah anak-anak muda ini saat malam tiba? Terutama golongan remaja yang masih di alam persekolahan, baik anak lelaki mahupun anak perempuan. Saya sendiri berasa sangat kecewa kerana ada di kalangan murid (khususnya calon-calon PMR dan SPM) yang mengambil jalan mudah dengan berhenti sekolah tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang dalam kitaran hidupnya.

Suka saya ingin coretkan di sini, hidup kita ini penuh dengan pelbagai pilihan hinggakan kita acapkali tersilap memilih dan memilih ikut kata hati, bukan secara rasionalisasi. Jadikanlah kisah Michael Jackson sebagai pengajaran dan renungan kita. Kemasyhurannya memang diakui di seluruh dunia... namun, beliau adalah antara contoh individu yang 'dewasa sebelum masanya'. Terkenal sejak kecil bersama kumpulan Jackson Five, pergaulan dan pergerakan dikawal, alam kanak-kanak dan remajanya dikesampingkan, hingga akhirnya, Michael Jackson tenggelam dalam dunia ciptaannya sendiri.

Kepada calon-calon PMR, tempoh masa yang tinggal dalam lingkungan 5 minggu ini, gunalah dengan sebaik mungkin. Tidak ada istilah terlambat untuk memulakan ulangkaji biarpun disedari telah lama ketinggalan. Sesungguhnya langkah pertama itu memang susah untuk dilakukan atas pelbagai sebab dan alasan, tetapi apabila telah mula masuk ke 'gear' ketiga, keempat. dan kelima, pastinya anda akan selesa kemudiaanya untuk mengulangkaji.

Begitu jugalah halnya dengan calon-calon SPM. Jangka masa 9 minggu yang berbaki ini sangat penting untuk diisi dengan ulangkaji yang sedikit tapi konsisten.

Bagaimana kaedah untuk melakukannya? Itu anda kena temui sendiri Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah. Yakinlah, anda mampu melakukannya!

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya murid-murid SMK Gemas dan mereka yang mengenali saya. Ampunkan salah silap sekiranya ada tersinggung kata dan tersalah bicara...

Sabtu, Ogos 13, 2011

Murid-murid Cemerlang dan Harapan PMR dan SPM 2011 SMK Gemas

Seperti kebanyakan sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia atau di mana-mana di dunia ini, pastinya ada kumpulan pelajar yang telah dikenal pasti utk di letakkan sebagai sandaran kecemerlangan dalam aspek akademik.

Justeru, SMK Gemas juga tidak terkecuali dengan memilih kumpulan pelajar ini yang dipilih mengikut dua kategori iaitu Sasaran Cemerlang dan Sasaran Harapan, sama ada di peringkat PMR, mahu pun di peringkat SPM. Ini adalah bertujuan memupuk semangat untuk bersaing di kalangan pelajar ke arah mencapai keputusan yang diingini.


 Calon-calon Cemerlang dan Harapan PMR 2011

Calon-calon Cemerlang dan Harapan SPM 2011

Pelajar dipilih adalah berdasarkan kedudukan pencapaian mereka dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011 yang lalu. Pelbagai aktiviti telah dirangka untuk kumpulan pelajar ini sehinggalah mereka selesai menghadapi peperiksaan masing-masing.

Pemilihan kumpulan pelajar ini adalah selari dengan hasrat PPD Tampin, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan dan Kementerian Pelajaran Malaysia yang saban tahun mengharapkan peningkatan pencapaian akademik di sekolah-sekolah dengan menetapkan sasaran ETR, TOV, dan headcount yang perlu dijadikan sasaran pencapaian.

Walau bagaimanapun, pihak sekolah tidak mengabaikan kelompok pelajar yang lain kerana pihak sekolah sentiasa yakin dan percaya akan kemampuan pelajar-pelajar sekolah ini untuk mendokong pencapaian keputusan akademik yang baik. Malah, pihak sekolah juga turut menyediakan pelbagai program seperti kelas tambahan, bengkel dan teknik menjawab peperiksaan untuk semua pelajar, di samping program-program lain yang dirancang oleh pihak sekolah.

'Setiap murid umpama komponen kenderaan yang menjadikan sesebuah kenderaan itu berfungsi dengan baik. Jika ada di kalangan komponen itu yang rosak atau kurang baik, maka sudah pastilah kenderaan itu akan dipandang rendah oleh pihak di luar sana...'

Marilah kita sama-sama menjadikan matlamat ke arah mencipta kejayaan cemerlang di luar dugaan agar SMK Gemas akan mencatatkan sejarah pencapaian keputusan PMR dan SPM terbaik bukan setakat di daerah Tampin, bukan setakat di Negeri Sembilan, tetapi meniti dari mulut ke mulut di seluruh Malaysia.

Yakinlah kita mampu!