Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Selasa, April 27, 2010

Cinta atau Nafsu?

PANDUAN MENGELAK CINTA NAFSU
Apabila disebut soal CINTA pada murid-murid sekolah menengah, sama ada dari Tingkatan 1 hinggalah Tingkatan 5, sama ada lelaki atau perempuan, pasti ramai yang tersengih. Si gadis tersipu-sipu kononnya malu, si jejaka pula tersenyum 'macho'. Hmm, perlukah perasaan CINTA hadir dalam usia muda?
        Tidak dinafikan ada pasangan yang bercinta sejak di sekolah menengah, akhirnya bersatu di jinjang pelamin. Tetapi lebih ramai yang dilihat hangat bercinta ketika di sekolah menengah... akhirnya putus juga setelah masing-masing membawa haluan selepas SPM.
Persoalan yang wujud ialah, 'Apakah sebenarnya matlamat CINTA pasangan remaja ini?' Mungkin si gadis benar-benar mengharapkan dirinya di cintai oleh si jejaka yang berjaya mencuri hati dan perhatiannya, seterusnya dipanjangkan jodoh untuk bersatu sebagai suami isteri dipenghujungnya. Namun, adakah hasrat yang sama ada dalam hati dan fikiran si jejaka?
Adakah si jejaka hanya melihat kecantikan yang dimiliki si gadis dan seterusnya ingin memperolehnya seperti trofi kemenangan yang kemudiannya dipamerkan di rak kemegahan mereka? Adakah pandangan mata si jejaka hanya berlandaskan nafsu?
          Kepada si gadis mahupun si jejaka, fikirlah dalam-dalam setiap tindakan yang ingin diambil dalam menjalinkan hubungan CINTA.
          Si gadis yang berfikiran singkat, pergaulannya agak terbatas, perasaan rendah diri yang menguasai pemikiran akan mudah dipengaruhi si jejaka yang mengumpan dengan kata-kata manis yang menjadi umpan CINTA NAFSU. Dalam diri setiap manusia itu ada perasaan NAFSU yang perlu dikawal dengan AKAL. Berhati-hatilah dalam  perhubungan yang dijalin.
          Si jejaka pada mulanya akan cuba untuk memegang tangan si gadis sambil menyulam dengan kata-kata cinta yang penuh romantis. Setelah agak selesa memegang tangan si gadis yang lembut (mungkin memakan masa, bergantung pada si gadis), si jejaka mengatur tempat duduk untuk duduk serapat mungkin. Apabila si gadis seolah-olah memberi isyarat yang dirinya sedia dihampiri, perlahan-lahan si jejaka meletakkan tangannya ke paha si gadis. Di sinilah segala-galanya bermula dan NAFSU mengambil tempat. Tangan si jejaka kemudiannya akan bergerak ke pinggang dan anggota badan yang lain.
          Apabila si gadis tewas dan hanyut dengan pujuk rayu si jejaka yang mendambakan NAFSU, menyerahkan mahkota perawannya dengan rela (walaupun di bawah umur), ketahuilah anda masih boleh berubah dan ketahuilah bahawa ada insan dan pertubuhan yang sedia membantu anda untuk kembali ke pangkal jalan. Asalkan anda TEGAS untuk bertaubat dan berubah.
          Coretan ini adalah panduan kepada si gadis untuk mengelakkan diri apabila bertemu dengan si jejaka yang menghampiri anda hanya untuk memuaskan NAFSUnya. Ketahuilah jarak minimum antara lelaki dan perempuan serta sentuhan-sentuhan yang boleh dan tidak boleh antara muhrim, walaupun oleh bapa sendiri. Sekiranya anda telah terjebak, terperangkap, tertipu dalam perangkap CINTA oleh si jejaka seperti yang dicatatkan di atas, dan anda inginkan bantuan untuk mengatasinya, silalah berhubung dengan Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah/ tempat pengajian anda.
          Saya akhiri coretan ini dengan petikan ayat oleh rakan saya, yang saya alih bahasakan ke Bahasa Melayu, Pn. Ezatul Arni (yang juga merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling di salah sebuah sekolah menengah di Selangor),

         "Seks tidak menjadikan si lelaki itu milikmu dan anak yang dikandung tidak akan menyebabkan si dia sedia bertanggungjawab"

Khamis, April 22, 2010

JADUAL PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2010 SMK GEMAS

Klik pada gambar sebanyak dua kali dengan menggunakan 'mouse' untuk membesarkan gambar...


Rabu, April 21, 2010

Musim demam dan batuk...

Kes demam denggi dan H1N1 yang kini kembali menular di kalangan rakyat Malaysia sedikit sebanyak memberi impak kesedaran kesihatan kepada semua. SMK Gemas juga tidak terkecuali... Seperti bermusim, ramai murid yang didapati demam, selesema, batuk, dan ada juga kes sakit perut, sesak nafas dan senggugut (murid perempuan).
Guru Bimbingan dan Kaunseling juga tidak terkecuali terkena tempias musim demam ini. Baru sahaja bertukar sekolah 4 hari di SMK Gemas, sudah didapati demam, muntah-muntah, cirit-birit dan lemah seluruh badan mulai 7 April dan dimasukkan ke wad mulai 9 April hingga 11 April 2010. Doktor pada awalnya mengesyaki saya dijangkiti demam denggi. Malah, kedua-dua anak saya juga mengalami gejala yang sama tetapi tidaklah seteruk yang saya alami kerana terpaksa dimasukkan air ke dalam badan sebanyak lebih kurang 10 pek. Kawan-kawan di SMK Jelai (Felda) menyakat dengan mengatakan bahawa saya mungkin agak tertekan dengan suasana baru... Takde maknanya...
Alhamdulillah, kini sudah beransur pulih walaupun sekali-sekala masih lagi mengalami sakit perut. Apa-apa hal pun, hidup mesti diteruskan... Kepada semua, khususnya murid-murid SMK Gemas, jagalah kesihatan anda dan elakkan daripada mengambil makanan yang tercemar dek kuman dan jauhi tempat-tempat yang boleh menjadi punca merebaknya demam dan selesema.

Jumaat, April 16, 2010

Selamat Datang ke Blog UBK SMK Gemas

Ini adalah kali pertama saya menulis di blog ini. Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk memberi informasi terkini kepada warga SMK Gemas khususnya dan sesiapa jua berkaitan aktiviti-aktiviti terkini, nasihat berkaitan kaunseling dan pelbagai lagi paparan untuk kebaikan bersama warga SMK Gemas... tidak terkecuali sebagai medan untuk bekas pelajar untuk sama-sama berkongsi pendapat dalam blog ini...