Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Ahad, Julai 17, 2011

Kem Modul 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.... Salam Satu Malaysia! Sudah agak lama saya tidak menulis dek kekangan masa, dan tugasan luar yang pelbagai. Terlibat dengan pelbagai aktiviti kaunseling, mesyuarat, seminar peringkat daerah Tampin & Negeri Sembilan, menguruskan Catur MSSM Daerah Tampin dan Negeri Sembilan, serta yang terkini terlibat dengan Kejurulatihan Daerah Modul Kem 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia (1M 1S 1M) peringkat Negeri Sembilan yang dianjurkan di Klebang Beach Resort, Melaka baru-baru ini. Setiap daerah diwakili oleh 12 orang guru  lelaki dan perempuan dari pelbagai bidang sukan (termasuklah seorang Guru Kaunseling) sebagai Jurulatih Daerah masing-masing
.
Apa kena mengena Guru Kaunseling dengan 1M 1S 1M? Itu jugalah yang diajukan oleh Pengetua dan rakan-rakan guru sama ada di sekolah mahupun rakan-rakan guru yang terlibat sama terpilih sebagai Jurulatih Daerah dalam Modul Kem 1M 1S 1M ini. Saya dan rakan-rakan dimaklumkan bahawa beberapa orang Guru Kaunseling yang mewakili setiap daerah ini dipilih dan dikenalpasti berdasarkan penglibatan secara langsung dalam aktiviti sukan sama ada peringkat daerah, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan.

Peranan Guru Kaunseling diperlukan dalam Kem Modul 1M 1S 1M ini sebagai pencetus semangat dalam mengendalikan sesi 'ice-breaking' yang merupakan langkah pertama dalam memupuk semangat perpaduan dan mengenepikan rasa rendah diri yang menjadi tembok batu yang menghalang seseorang murid daripada terlibat dengan sebarang aktiviti sukan di sekolah.

Apakah dia Kem Modul 1M 1S 1M ini? Kem ini adalah merupakan kesinambungan aktiviti yang diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (Menteri Pelajaran) untuk menggalakkan murid-murid terlibat dengan sukan demi untuk kecergasan dan kesihatan. Terdapat beberapa sukan teras yang menjadi tumpuan dalam memupuk minat penglibatan murid, antaranya bola sepak, badminton, sepak takraw, bola jaring dan hoki. Malah, setiap sekolah telahpun disalurkan peruntukan untuk setiap murid, iaitu RM4/murid untuk sekolah rendah, manakala RM6/murid untuk sekolah menengah. Peruntukan ini diberikan adalah bertujuan untuk melihat program 1M 1S 1M ini dilaksanakan. Malah, dimaklumkan bahawa sekolah-sekolah akan dipantau oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia kerana peruntukan besar yang telah disalurkan. SMK Gemas tidak terkecuali.

Di peringkat Negeri Sembilan, setiap daerah akan menganjurkan 2 kem, iaitu satu kem untuk sekolah rendah, dan satu lagi kem untuk sekolah menengah. Setiap sekolah akan diminta untuk menghantar 1 atau 2 orang guru dan 4 orang murid (yang kurang terlibat dengan sukan) untuk mengikuti kem ini. Modul-modul sukan yang dibentuk untuk kem ini adalah bertujuan menarik minat murid-murid tersebut menyertai aktiviti sukan dan seterusnya membantu guru yang turut menyertai kem tersebut untuk menyebarkannya pula di sekolah masing-masing.

Pelaksanaan sukan untuk 1M 1S 1M ini memfokuskan kepada murid-murid yang kurang terlibat dengan sukan di sekolah-sekolah. Justeru, kerana itulah pelaksanaannya di sekolah-sekolah adalah disarankan agar diadakan selain hari Rabu (Ko-kurikulum). Aktiviti-aktivitinya pula lebih kepada mengajar asas permainan sukan-sukan terpilih tanpa melibatkan undang-undang sedia adanya. Sukan-sukan terpilih tersebut diubahsuai mengikut keluasan ruang dan tahap skil murid yang rendah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan