Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Selasa, April 27, 2010

Cinta atau Nafsu?

PANDUAN MENGELAK CINTA NAFSU
Apabila disebut soal CINTA pada murid-murid sekolah menengah, sama ada dari Tingkatan 1 hinggalah Tingkatan 5, sama ada lelaki atau perempuan, pasti ramai yang tersengih. Si gadis tersipu-sipu kononnya malu, si jejaka pula tersenyum 'macho'. Hmm, perlukah perasaan CINTA hadir dalam usia muda?
        Tidak dinafikan ada pasangan yang bercinta sejak di sekolah menengah, akhirnya bersatu di jinjang pelamin. Tetapi lebih ramai yang dilihat hangat bercinta ketika di sekolah menengah... akhirnya putus juga setelah masing-masing membawa haluan selepas SPM.
Persoalan yang wujud ialah, 'Apakah sebenarnya matlamat CINTA pasangan remaja ini?' Mungkin si gadis benar-benar mengharapkan dirinya di cintai oleh si jejaka yang berjaya mencuri hati dan perhatiannya, seterusnya dipanjangkan jodoh untuk bersatu sebagai suami isteri dipenghujungnya. Namun, adakah hasrat yang sama ada dalam hati dan fikiran si jejaka?
Adakah si jejaka hanya melihat kecantikan yang dimiliki si gadis dan seterusnya ingin memperolehnya seperti trofi kemenangan yang kemudiannya dipamerkan di rak kemegahan mereka? Adakah pandangan mata si jejaka hanya berlandaskan nafsu?
          Kepada si gadis mahupun si jejaka, fikirlah dalam-dalam setiap tindakan yang ingin diambil dalam menjalinkan hubungan CINTA.
          Si gadis yang berfikiran singkat, pergaulannya agak terbatas, perasaan rendah diri yang menguasai pemikiran akan mudah dipengaruhi si jejaka yang mengumpan dengan kata-kata manis yang menjadi umpan CINTA NAFSU. Dalam diri setiap manusia itu ada perasaan NAFSU yang perlu dikawal dengan AKAL. Berhati-hatilah dalam  perhubungan yang dijalin.
          Si jejaka pada mulanya akan cuba untuk memegang tangan si gadis sambil menyulam dengan kata-kata cinta yang penuh romantis. Setelah agak selesa memegang tangan si gadis yang lembut (mungkin memakan masa, bergantung pada si gadis), si jejaka mengatur tempat duduk untuk duduk serapat mungkin. Apabila si gadis seolah-olah memberi isyarat yang dirinya sedia dihampiri, perlahan-lahan si jejaka meletakkan tangannya ke paha si gadis. Di sinilah segala-galanya bermula dan NAFSU mengambil tempat. Tangan si jejaka kemudiannya akan bergerak ke pinggang dan anggota badan yang lain.
          Apabila si gadis tewas dan hanyut dengan pujuk rayu si jejaka yang mendambakan NAFSU, menyerahkan mahkota perawannya dengan rela (walaupun di bawah umur), ketahuilah anda masih boleh berubah dan ketahuilah bahawa ada insan dan pertubuhan yang sedia membantu anda untuk kembali ke pangkal jalan. Asalkan anda TEGAS untuk bertaubat dan berubah.
          Coretan ini adalah panduan kepada si gadis untuk mengelakkan diri apabila bertemu dengan si jejaka yang menghampiri anda hanya untuk memuaskan NAFSUnya. Ketahuilah jarak minimum antara lelaki dan perempuan serta sentuhan-sentuhan yang boleh dan tidak boleh antara muhrim, walaupun oleh bapa sendiri. Sekiranya anda telah terjebak, terperangkap, tertipu dalam perangkap CINTA oleh si jejaka seperti yang dicatatkan di atas, dan anda inginkan bantuan untuk mengatasinya, silalah berhubung dengan Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah/ tempat pengajian anda.
          Saya akhiri coretan ini dengan petikan ayat oleh rakan saya, yang saya alih bahasakan ke Bahasa Melayu, Pn. Ezatul Arni (yang juga merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling di salah sebuah sekolah menengah di Selangor),

         "Seks tidak menjadikan si lelaki itu milikmu dan anak yang dikandung tidak akan menyebabkan si dia sedia bertanggungjawab"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan