Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Selasa, September 20, 2011

Penyerahan Netbook 1 Malaysia

Tarikh : 19 September 2011 (Isnin)
Tempat : Dewan Besar Majlis Daerah Tampin- Gemas
Bilangan Murid SMK Gemas yang terima : 180 lebih kurang...
 
 

Pelbagai ragam dapat disaksikan semasa majlis penyerahan ini. Seperti tahun lepas, ada di kalangan murid yang sebelum ini memang lebih banyak ponteng sekolah, namun apabila mengetahui nama tersenarai sebagai penerima, hadir ke sekolah bertemu dengan guru penyelaras ICT. Malah, ada antara ibu bapa yang marah-marah apabila pada asalnya nama anaknya tersenarai, tetapi dibatalkan kerana hanya satu penerima dalam satu keluarga, dan setiap keluarga hanya terima sekali sahaja. Ada juga keluarga murid yang pernah tersenarai tahun lepas, tetapi apabila dibatalkan nama menyatakan bahawa netbook yang diterima tahun lepas telah rosak. Tak terlepas juga ada ibu bapa yang mengugut untuk memindahkan sekolah anak kerana kecewa nama anak digugurkan daripada senarai penerima. Sabarlah ya Cikgu Nurul Ilyana dan Cikgu Nuzuriyati melayan karenah murid-murid dan ibu bapa di SMK Gemas ni.


Hmm, itu belum lagi ada bapa (guru sekolah berjawatan) yang mengambil netbook bagi pihak anaknya yang memotong barisan murid. Di manakah letaknya kesantunan dan nilai murni yang ingin diterapkan kalangan murid? Entahlah...

 

Ibu bapa turut diminta untuk hadir bersama-sama dengan murid untuk menerima netbook tersebut... Jika dilihat secara kasar, memanglah tujuannya untuk meramaikan majlis. Bagus...




Walau bagaimanapun, ada niat yang terselindung di sebaliknya kerana jika diteliti secara mendalam, murid jugalah yang menguruskan sendiri segala-galanya - beratur, naik ke atas pentas, semakan borang di dua stesen kaunter, hinggalah mengaktifkan netbook yang diterima.


Di mana peranan ibu bapa yang diminta hadir sama? Sebenarnya, terdapat beberapa gerai yang menjual pelbagai aksesori berkaitan netbook yang diterima seperti beg-beg netbook yang pelbagai jenis dan warna (berharga antara RM30 - RM35), 'kipas' netbook (berharga antara RM10 - RM 30), usb port, pendrive 8GB dan beberapa lagi barang (berharga antara RM 10 - RM 35), dan yang paling utama, di sebalik pemberian percuma sim kad yang mempunyai nilai kredit RM 5 (seperti yang saya dengar daripada petugas di sana), modem dijual berasingan dengan harga RM 150. Secara peribadi, saya melihat di situlah peranan ibu bapa diminta... iaitu membeli barangan-barangan sampingan berkaitan netbook berkenaan.




Apa-apa pun, saya mengucapkan tahniah kepada semua murid sekolah menengah yang terpilih untuk menerima netbook untuk tahun ini. Untuk rekod, ini adalah pemberian netbook kali kedua di daerah Tampin - Gemas. Kali pertama penyerahan netbook untuk murid sekolah rendah dan sekolah menengah dilaksanakan pada tahun 2010 di beberapa lokasi berbeza (khusus di kawasan-kawasan Felda Jelai, Felda Bukit Jalor, Felda Bukit Rokan, Felda Sg. Kelamah dan Felda Pasir Besar), selaras dengan pelancaran Pusat Jalur Lebar di komuniti felda.

Gunakanlah sebaiknya kemudahan yang diberikan ini. Jangan disalahguna ye...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan