Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Isnin, Disember 12, 2011

Seminar Penyalahgunaan Dadah 2011

Alhamdulillah... semasa cuti sekolah baru-baru ini, iaitu pada 10 Disember 2011 (Sabtu), saya berpeluang untuk mengikuti Seminar Penyalahgunaan Dadah 2011,bertempat di Auditorium Fakulti Kejuruteraan UPM.

Terdapat 3 slot pengisian ilmiah (bolehlah dikategorikan begitu) dalam seminar ini, iaitu:
8.30 - 10.00 pagi     Ceramah 1 (oleh ahli akademik)
10.30 - 12.00 t/hari  Ceramah 2 (oleh artis)
2.00 - 4.00 petang    Forum (oleh ahli akademik, NGO, dan artis)

Perlukah saya dedahkan artis yang terlibat? Hmm, rasanya tidak perlu. Yang penting apa yang disampaikan oleh mereka. Biarlah hanya mereka yang menyertai seminar ini yang tahu siapakah gerangan dua orang artis berkenaan.

Ceramah 1 oleh ahli akademik biasalah berkaitan jenis-jenis dadah, kesan-kesan, angka-angka dapatan kajian dan maklumat berkaitan dadah sepanjang kajian beliau. Perkara yang disampaikan oleh beliau adalah perkara yang lazimnya boleh didapati daripada bacaan dan carian internet dan sebagainya.

Saya lebih tertarik untuk berkongsi tentang isi Ceramah 2 - 'Ku Temui Jalan Pulang'. Kisah seorang artis popular yang dulu berkumpulan, kemudian bergerak solo dan mempunyai beberapa lagu hit yang pernah dan masih menjadi siulan dan nyanyian ramai hingga kini.

Beliau berkongsi pengalaman bagaimana beliau terlibat dengan dadah selama lebih kurang 10 tahun, bagaimana beliau terjebak, jumlah wang yang habis dibelanjakan sepanjang menagih dadah, faktor yang mendorong beliau untuk kembali ke pangkal jalan, dan nasihat beliau kepada remaja.

Istimewa untuk semua, khususnya warga SMK Gemas dan pembaca, artis ini adalah anak bongsu daripada 3 beradik dan kehilangan ibunya ke rahmatullah menjadi titik mula beliau terjebak. Bermula dengan ganja, beliau seterusnya beralih kepada heroin. Beratus ribu ringgit habis digunakan untuk dadah. Bayangkanlah penggunaan dadah sehari mencecah RM300 lebih. Namun begitu, beliau beruntung kerana kegiatan penagihan beliau tidaklah sampai ditangkap oleh pihak berkuasa kerana melakukannya di rumah dan diketahui oleh kakaknya. Demi kakaknya jugalah, beliau akhirnya bertemu pengurus beliau untuk pemulihan.

Kini, setelah 3 bulan dalam rawatan, beliau telah mendapat sedikit kekuatan dan masih dalam bimbingan. Asalnya, beliau sendiri takut dengan penerimaan masyarakat, khususnya golongan remaja yang mengenali beliau. Tapi, atas dasar ingin menyampaikan mesej JAUHI DADAH, beliau setuju untuk hadir.


Nasihat beliau kepada remaja, jauhilah rokok kerana ia permulaan asas penagihan. Lakukanlah aktiviti sihat dan janganlah segan untuk mendapatkan bantuan sekiranya terjebak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan