Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Khamis, Mei 06, 2010

Bergaya ke Sekolah... Betul atau Salah?

Ternyata murid-murid sekolah zaman sekarang sememangnya bergaya apabila ke sekolah... Murid-murid lelaki dengan pelbagai gaya fesyen rambut yang ditiru bulat-bulat daripada artis dan juga idola masing-masing. Malah, ada juga murid lelaki yang memakai seluar sekolah yang diketatkan di bahagian kaki dan memakai seluar sekolah yang seolah-olah dilondehkan ke paras atas sedikit daripada punggung. Manakala murid perempuan pula dengan pemakaian celak dan bedak yang berlebihan, tudung dan kain baju kurung sekolah yang disingkatkan, pemakaian cincin dan lain-lain yang jika disenaraikan di sini akan mengambil masa untuk menaipnya.
          Persoalan utama yang harus diajukan kepada mereka, 'adakah mereka sedar status mereka sebagai murid sekolah ketika ini?' Sekiranya mereka sedar bahawa mereka adalah murid sekolah, seharusnya mereka perlulah bertingkah laku dan mematuhi peraturan-peraturan sekolah yang telah pun ada garis panduan bagaimana seharusnya penampilan seorang murid sekolah.
          Persoalan kedua pula ialah, 'adakah ibu bapa/ penjaga murid-murid sekolah ini tahu tingkahlaku dan penampilan anak-anak mereka ini salah dari segi peraturan sekolah?' Seandainya mereka tahu, bagaimana mungkin mereka boleh membenarkan anak mereka hadir ke sekolah dengan penampilan sedemikian? Tidakkah mereka pernah pergi ke sekolah? Adakah alasan mengikuti fesyen terkini boleh 'menghalalkan' segala tingkahlaku salah yang dibawa oleh anak mereka? Tidakkah mereka mahu anak-anak mereka tampil dengan imej kemas?
          Pelbagai cerita berkaitan tingkahlaku negatif murid sekolah yang dilaporkan sama ada di media cetak ataupun media elektronik seharusnya menjadi rujukan kepada murid-murid dan ibubapa/ penjaga dalam memilih kebebasan sama ada dalam berfesyen mahupun bertingkahlaku.
          Guru-guru sentiasa cuba untuk memupuk nilai-nilai murni di kalangan murid, sama ada dari aspek sahsiah, mahupun penampilan. Teguran-teguran yang diberi tidak mempunyai niat lain selain daripada menunjukkan tingkahlaku yang sepatutnya dipunyai oleh seorang murid sekolah. Walau bagaimanapun, sering kali tindakan-tindakan guru, khususnya guru disiplin di salah erti oleh ibubapa/ penjaga. Tugas seorang guru bukan hanya membentuk pengetahuan akademik murid, tetapi turut merangkumi sahsiah dan tingkahlaku murid. Ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pegangan setiap guru, iaitu ke arah melahir dan membentuk murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
          Suka saya mengajak semua pihak sama-sama main peranan agar generasi pelapis tampuk pemerintahan negara ini tampil dengan penuh berkarisma, kemas dan mempunyai jatidiri yang tinggi selain tidak mengabaikan ibadah dalam agama masing-masing. Hubungan akrab antara ibubapa/ penjaga dengan guru-guru penting untuk menunjukkan kepada murid bahawa mereka tidak mempunyai peluang dan ruang untuk melakukan kesalahan yang dikhuatiri pada akhirnya menjerumuskan mereka tingkahlaku negatif yang tidak terbendung jika lewat dibendung.
         
        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan