Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Rabu, Mei 05, 2010

Keliru Membuat Pilihan Tawaran Belajar?

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada lepasan SPM 2009 yang sudah pun menerima tawaran menyambung pelajaran.

Ketika ini, lepasan SPM 2009 pasti sudah menerima pelbagai tawaran belajar daripada pelbagai pihak, seperti tawaran Kolej Matrikulasi, Politeknik, program asasi dan diploma UiTM, temuduga IPG dan kemasukan Tingkatan Enam. Sebaik anda mendapat tawaran belajar, ternyata sebelah kaki anda telah pun menjejak anak tangga 'menara gading' yang diidam-idamkan selama ini.
         Sudah pastilah ibu bapa anda akan berasa bangga dengan kejayaan anda diterima untuk menyambung pelajaran. Walaupun mungkin ada sesetengah ibubapa atau imdividu yang mungkin memandang sebelah mata tawaran ke Tingkatan Enam atau Matrikulasi, sesungguhnya itu adalah juga haluan yang tepat untuk menyambung pengajian dalam arus mencapai cita-cita.
         Saya yakin, pada ketika ini, lepasan SPM 2009 pasti sedang sibuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ibubapa, keluarga, guru-guru, rakan-rakan dan sesiapa jua mengenai tawaran belajar yang telah mereka terima. Pasti bertambah sukar membuat pilihan setelah mendapat pelbagai nasihat dan maklumat daripada mereka yang saya sebutkan tadi.
         Justeru, suka saya berkongsi di sini sedikit tips bagaimana untuk menghilangkan kekeliruan yang timbul dalam membuat pilihan dalam menentukan tawaran belajar yang mana yang mahu dipilih:
  1. Fikirkan kemampuan diri sendiri- sekiranya anda sememangnya jenis pelajar/individu yang boleh dan mudah mengingat, menghafal, tahan lasak, kuat mental dan emosi, kritis dalam membuat analisis, masih sukakan suasana sekolah, anda sesuai untuk menyambung pelajaran di Tingkatan Enam kerana anda kena mengulangkaji untuk hampir 2 tahun sebelum anda menduduki STPM. Andainya anda inginkan perubahan dalam corak pengajian, anda bolehlah memilih untuk menerima tawaran kolej matrikulasi atau program asasi mana-mana universiti kerana peperiksaan pengajian mengikut semester. Habis satu semester, habislah tentang sesuatu subjek itu. Untuk semester lainnya, anda akan belajar mengenai subjek yang lain.
  2. Pilih bidang yang menghampiri minat dan personaliti anda- sekiranya anda adalah seorang ekstrovert, aktif, dan sosial, serta meminati aktiviti-aktiviti lasak, mencabar fizikal dan mental, suka berinteraksi dengan orang lain, maka anda pilihlah bidang yang melibatkan aktiviti luar, pergerakan dan komunikasi. Manakala bagi anda yang merupakan seorang introvert, kurang aktif (agak pasif), pemalu, berminat pada aktiviti dalam bilik, minat penyelidikan (aktiviti mencabar mental), kurang gemar aktiviti lasak dan kurang gemar berkomunikasi dengan individu lain, pilihlah bidang yang kebanyakkan masanya hanya melibatkan aktiviti kajian di makmal, pengiraan, perakaunan, penulisan dan yang bersesuaian. Sekiranya anda memilih sesuatu bidang yang tidak 'fit' dan sesuai dengan minat dan personaliti anda, dikhuatiri anda akan mudah tension dan sukar untuk menyesuaikan diri. Walaupun anda berjaya menamatkan pengajian nanti, adalah dikhuatiri anda akan rasa tidak selesa dan sukar bersaing dengan lepasan diploma atau ijazah yang sama dalam bersaing untuk pekerjaan.
Segala yang tercatat di sini hanyalah sekadar panduan semata-mata. Segala-galanya terletak di tangan anda untuk memilih haluan anda dalam mencapai cita-cita.  Pilihlah dengan bestari supaya anda tidak menyesal di kemudian hari. Kepada yang gagal mendapat mana-mana tawaran biarpun mendapat keputusan SPM yang agak baik, jangan kecewa. Cuba lagi mohon untuk rayuan atau ambilan seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan