Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Jumaat, Mei 07, 2010

Ibu... Engkaulah Ratu Hatiku...

Coretan pengalaman ini saya dedikasikan istimewa untuk
ibuku, Pn. Hjh. Siti Ramlah bt. Ariffin, dan isteri tersayang, Pn. Hjh. Lailawaty bt. Hj. Muhamed,
serta semua ibu yang telah melahirkan anak walau di mana jua anda berada sempena Hari Ibu, pada 9 Mei 2010 (Ahad minggu kedua Mei).

Biar apapun panggilan yang diberikan kepada seorang insan yang melahirkan; sama ada ibu, emak, mama, umi, mummy, dan lain-lain... pengorbanan mereka nyata tidak terbalas biarpun dengan wang ringgit. Kesakitan, perit jerih, rasa tidak selesa ketika berjalan, duduk, berdiri, baring, makan, mandi, membuang air dan serba-serbi aktiviti yang dilakukan, rasa mabuk dan alahan, segalanya ditolak ke tepi dan ditanggung sendiri oleh insan ini demi untuk anak yang dikandungnya. Tidak sedikit air mata yang jatuh di pipinya dalam mengharungi tempoh kehamilan selama lebih kurang 9 bulan 10 hari.
              Saat melahirkan pula, hanya Allah sahaja yang tahu seksa dan azab yang ditanggung ketika itu. Insan ini seolah-olah bertarung nyawa untuk mengeluarkan seorang lagi manusia dari ruang sempit tubuhnya. Tercungap-cungap menarik dan menghembus nafas saat meneran untuk mendorong si anak keluar dari dalam tubuhnya. Menitik-nitik peluh keluar mencurah dari segenap liang roma membasahi baju dan cadar. Terpaksa membuka luas kaki dalam tempoh yang agak lama (sampai bayi lahir) hingga terasa sakit segenap sendi dan otot kerana tidak mahu si anak tersepit dan lemas. Tidak putus-putus mulut si ibu berdoa agar selamat melahirkan, dapat melihat bayi yang dikandung selama ini, di selang-seli dengan jeritan menahan kesakitan.
Dalam kesakitan si ibu, terpaksa pula menahan pedih telinga dimarahi oleh jururawat, bidan dan doktor dengan kata-kata yang diistilahkan 'reverse psychology'.
              Tanpa sedar, tangan si ibu mencapai segala apa yang terdekat untuk dipaut dan digenggam kuat. Kaki pula menolak tiang khas yang disediakan sewaktu hendak bersalin. Rasa malu ditolak ke tepi saat itu dilihat oleh doktor-doktor lelaki di dewan bersalin. Sekiranya terdapat masalah, sama ada rela atau tidak, dalam keadaan darurat, doktor menyeluk ke dalam tubuh si ibu untuk memastikan pula kedudukan bayi. Apabila tiba saat kelahiran, berserta dengan hembusan nafas yang kuat, diiringi jeritan, deraian air mata, kerutan di dahi, dengan baki tenaga yang ada, akhirnya bayi yang dinanti selamat dilahirkan...
              Sebaik doktor dan jururawat menyambut kelahiran bayi, dibersihkan mulut dan badan bayi, memotong tali pusat, memastikan bayi normal pendengaran dan lain-lainnya, dipastikan jantina bayi, akhirnya dipaksa agar bayi tadi menangis... barulah bayi tadi diberikan kepada si ibu. Hilang seketika segala sakit, azab, kepenatan amat sangat yang dilalui ketika hendak melahirkan sebentar tadi tatkala melihat wajah comel si bayi dan mungkin berkata dalam hati...
              "anak aku... anak aku dah lahir... alhamdulillah"

             Apakah perasaan anda ketika ini? Sedih? Terharu? Atau baru tersedar dengan pengorbanan, seksa dan azab yang dilalui oleh setiap insan yang bernama ibu sewaktu hendak melahirkan anak secara normal?Pernahkah anda bertanya pada ibu anda apakah yang ibu rasakan saat anda dilahirkan? Apakah harapan ibu pada anda ketika itu?
             Coretan ini adalah pengalaman yang ingin saya kongsikan dengan semua pembaca, saat isteri saya melahirkan anak pertama kami pada 19 Julai 2009, setelah menanti lama sejak kami berkahwin pada 27 Mei 2001. Setelah pelbagai cara dan kaedah dilakukan, sama ada perubatan moden dan tradisional, urutan, ubat, mengambil anak angkat dan sebagainya. Akhirnya, apabila kita balik kepada agama, doa jualah yang memberi kesan.
             Tidak dapat saya bayangkan bagaimana seorang ibu muda, akibat keterlanjuran dengan lelaki kekasih hati, terpaksa bersendirian melahirkan anak di dalam bilik sendiri, di bilik air, dan di tempat-tempat yang tidak pernah terfikir oleh diri ini. Menanggung seksa dan derita sendiri, menggagahkan diri untuk berjalan dalam terhuyung-hayang setelah melahirkan, sambil mengendong bayi comel yang cukup sifat, yang baru sahaja dilahirkan. Namun, tidak lama kemudian, tersiar di media massa dan elektronik, mayat seorang bayi dijumpai.
             Kepada murid-murid perempuan, anak-anak gadis, perempuan-perempuan, dan wanita-wanita yang membaca coretan ini, hargailah setiap saat yang dilalui. Setiap kali anda bersama-sama teman lelaki, apa jua yang anda lakukan, ingatlah coretan ini, ingat dan fikirlah betapa susah payahnya ibu melahirkan. Anda juga perempuan, dan anda juga akan melalui detik dan pengalaman yang sama. Mungkin yang membezakan adalah status anda sewaktu melahirkan. Adakah anda hendak bergelar isteri atau perempuan yang melahirkan anak luar nikah?
             Kepada murid-murid lelaki, jejaka-jejaka, teruna-teruna, jantan-jantan, pria-pria dan lelaki-lelaki pula, hargailah kehadiran kaum hawa di sisi, sama ada adik perempuan, kakak, ibu, teman wanita atau isteri. Ingatlah, sekali seorang wanita mencintai si lelaki, mereka rela melakukan segalanya, dibuktikan dengan sanggup bergadai nyawa melahirkan zuriat. Andai terlintas di dalam hati hendak merosakkan wanita lain, bayangkanlah jika orang lain melakukan perkara yang sama kepada keluarga anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan