Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Selasa, Mei 25, 2010

Aktiviti-Aktiviti Yang Telah Dijalankan Oleh UBK SMK Gemas 2010

Ceramah Disiplin Bersama Penyelia Disiplin Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (En. Razali Yunus)

Tarikh: 1 April 2010 (Khamis)
Tempat: Dewan Besar SMK Gemas





Program PPDa bersama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, PPD Tampin dan AADK Negeri Sembilan

Tarikh: 13 April 2010 (Selasa)
Tempat: Dewan Besar SMK Gemas



Latihan Kebakaran SMK Gemas 2010
Tarikh: 24 April 2010 (Sabtu)
Tempat: Berkumpul di padang SMK Gemas







Sambutan Hari Guru Peringkat SMK Gemas (tapi gambar tak banyak...kamera buat hal)

Tarikh: 17 Mei 2010 (Isnin)
Tempat: Dewan Besar dan Padang SMK Gemas

Isnin, Mei 24, 2010

Tarikh Gaji Kakitangan Awam Malaysia Sepanjang Tahun 2010

Jadual Pembayaran Gaji Bulanan Bagi Tahun 2010

( Satu Tarikh Gaji untuk Semua Negeri )



Bulan           Tarikh                Hari             Catatan

Januari         25.01.2010        Isnin                        -

Februari      08.02.2010         Isnin          Tahun Baru Cina
                                                               14 & 15.02.2010

Mac            25.03.2010        Khamis                    -

April           22.04.2010         Khamis                   -

Mei             24.05.2010        Isnin           Pesta Menuai
                                                               30 & 31.05.2010

Jun            *24.06.2010        Khamis       Hari Gawai
                                                               1 & 2.06.2010

Julai             22.07.2010        Khamis                   -

Ogos           25.08.2010        Rabu                       -

September *23.09.2010        Khamis     Hari Raya
                                                              10 & 11.09.2010

Oktober       25.10.2010        Isnin                      -

November    10.11.2010       Rabu         Hari Raya Haji
                                                              17 & 18.11.2010

Deepavali     05.11.2010       Jumaat                    -

Disember     20.12.2010        Isnin          Hari Krismas
                                                               25.12.2010



Note: Gaji bagi Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali dan Hari Gawai tidak dibayar awal kerana perayaan ini jatuh sebelum 11 haribulan pada bulan berkenaan

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010

Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Gemas ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'Selamat Menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun' kepada semua murid SMK Gemas. Murid-murid menengah atas, iaitu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 telah pun mula menghadapi peperiksaan sejak hari Jumaat (21 Mei 2010), manakala murid-murid menengah rendah akan mula menghadapi peperiksaan mulai Isnin minggu hadapan (31 Mei 2010).

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Selamat Menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun' juga kepada semua murid di seluruh Malaysia, sama ada di sekolah rendah, mahu pun di sekolah menengah.

Jika anda telah pun membuat persediaan sebelum ini, jawablah dengan tenang dan yakin. Walau bagaimanapun, janganlah terlalu yakin kerana ia akan hanya 'memakan diri'... sekiranya masih mempunyai banyak masa, semak setiap jawapan yang telah diberikan dan berilah jawapan yang benar-benar sesuai dan betul. Elakkan daripada bersembang, membuat bising dan jangan sekali-kali meniru jawapan kawan semasa peperiksaan berlangsung. Jangan lupa berdoa sebelum dan selepas peperiksaan dan mohon kepada Tuhan agar usaha anda direstui dan mendapat keputusan yang baik.

Rabu, Mei 19, 2010

Semakan Keputusan Permohonan UPU Kemasukan ke IPTA 2010

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 atau yang setaraf dengannya yang ada membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2010 bagi sesi 2010/2011 boleh membuat semakan keputusan permohonan mereka mulai 1 Mei 2010..


Semakan hanya dibuka secara rasmi pada 1 Mei 2010 pukul 12.00 tengahari.



Semakan Keputusan

Semakan keputusan permohonan ke IPTA ini boleh dibuat melalui;

1. Menghubungi talian 03-8883 5848 atau 03-8883 5858

2. Di laman web berikut:

    Semakan Keputusan UPU

    Semakan Keputusan Kemasukan ke UTM

    Semakan Keputusan Kemasukan UUM

3. Secara SMS dengan menaip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan hantar ke 15888



Penerimaan Tawaran

Semua calon yang berjaya wajib membuat pengesahan setuju untuk menerima tawaran dari IPTA dalam tempoh tujuh hari iaitu pada atau sebelum 11 Mei 2010(BP).

Pengesahan penerimaan tawaran ini boleh dibuat melalui laman web IPTA yang berkenaan.

Pihak IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya mulai 3 Mei 2010(BP).

Calon yang berjaya boleh mencetak surat tawaran melalui laman web IPTA yang berkenaan mulai pada tarikh yang sama. Sila rujuk Senarai IPTA dan klik pada Semakan Permohonan. Maklumat lebih terperinci akan diperolehi melalui surat tawaran ini.


Pendaftaran

Program Diploma – Tarikh pendaftaran pelajar baru ke IPTA adalah 3 dan 4 Julai 2010.

Program Asasi – Tarikh pendaftaran pelajar baru ke Pusat Asasi IPTA adalah 23 Mei 2010.


Rayuan

Sila buat rayuan di Permohonan e-Rayuan Lepasan SPM/Setaraf Sesi Akademik 2010/2011

Hanya calon yang gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA dibenarkan mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan.

Calon gagal mendapat tawaran ke IPTA tetapi berjaya ke Matrikulasi KPM dan yang telah mendaftar dengan Matrikulasi KPM, boleh mengemukakan permohonan rayuan tetapi semasa proses back-end calon yang telah berdaftar dengan Kolej Matrikulasi KPM diselaraskan dan tidak akan dipertimbangkan dalam proses rayuan kemasukan ke IPTA.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan adalah pada 15 Mei 2010 dan keputusan rayuan akan dimaklumkan pada minggu ketiga Julai. Jika tiada sebarang tawaran diterima dari IPTA sehingga 31 Julai (BP) maka rayuan anda dianggap gagal.


Maklumat

Sebarang pertanyaan yang berkaitan boleh dikemukakan kepada pihak UPU di talian 03-8883 5858 atau 03-8883 5848 atau 03-8883 5801/5802 atau faks 03-8889 4260 atau e-mel : upu@mohe.gov.my

Pertanyaan boleh juga dikemukakan terus kepada IPTA yang berkenaan, sila rujuk Senarai IPTA Universiti di Malaysia yang terdapat di halaman blog ini.

Nota : BP = Belum Pasti oleh UPU



Kredit: ePutra dan ohmalaysia.com

Selasa, Mei 18, 2010

Sajak Malar Segar...(Ever green)

Guru Oh Guru!

Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepalang ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.



Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.



Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.



Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.



USMAN AWANG (1979)

Jumaat, Mei 07, 2010

Ibu... Engkaulah Ratu Hatiku...

Coretan pengalaman ini saya dedikasikan istimewa untuk
ibuku, Pn. Hjh. Siti Ramlah bt. Ariffin, dan isteri tersayang, Pn. Hjh. Lailawaty bt. Hj. Muhamed,
serta semua ibu yang telah melahirkan anak walau di mana jua anda berada sempena Hari Ibu, pada 9 Mei 2010 (Ahad minggu kedua Mei).

Biar apapun panggilan yang diberikan kepada seorang insan yang melahirkan; sama ada ibu, emak, mama, umi, mummy, dan lain-lain... pengorbanan mereka nyata tidak terbalas biarpun dengan wang ringgit. Kesakitan, perit jerih, rasa tidak selesa ketika berjalan, duduk, berdiri, baring, makan, mandi, membuang air dan serba-serbi aktiviti yang dilakukan, rasa mabuk dan alahan, segalanya ditolak ke tepi dan ditanggung sendiri oleh insan ini demi untuk anak yang dikandungnya. Tidak sedikit air mata yang jatuh di pipinya dalam mengharungi tempoh kehamilan selama lebih kurang 9 bulan 10 hari.
              Saat melahirkan pula, hanya Allah sahaja yang tahu seksa dan azab yang ditanggung ketika itu. Insan ini seolah-olah bertarung nyawa untuk mengeluarkan seorang lagi manusia dari ruang sempit tubuhnya. Tercungap-cungap menarik dan menghembus nafas saat meneran untuk mendorong si anak keluar dari dalam tubuhnya. Menitik-nitik peluh keluar mencurah dari segenap liang roma membasahi baju dan cadar. Terpaksa membuka luas kaki dalam tempoh yang agak lama (sampai bayi lahir) hingga terasa sakit segenap sendi dan otot kerana tidak mahu si anak tersepit dan lemas. Tidak putus-putus mulut si ibu berdoa agar selamat melahirkan, dapat melihat bayi yang dikandung selama ini, di selang-seli dengan jeritan menahan kesakitan.
Dalam kesakitan si ibu, terpaksa pula menahan pedih telinga dimarahi oleh jururawat, bidan dan doktor dengan kata-kata yang diistilahkan 'reverse psychology'.
              Tanpa sedar, tangan si ibu mencapai segala apa yang terdekat untuk dipaut dan digenggam kuat. Kaki pula menolak tiang khas yang disediakan sewaktu hendak bersalin. Rasa malu ditolak ke tepi saat itu dilihat oleh doktor-doktor lelaki di dewan bersalin. Sekiranya terdapat masalah, sama ada rela atau tidak, dalam keadaan darurat, doktor menyeluk ke dalam tubuh si ibu untuk memastikan pula kedudukan bayi. Apabila tiba saat kelahiran, berserta dengan hembusan nafas yang kuat, diiringi jeritan, deraian air mata, kerutan di dahi, dengan baki tenaga yang ada, akhirnya bayi yang dinanti selamat dilahirkan...
              Sebaik doktor dan jururawat menyambut kelahiran bayi, dibersihkan mulut dan badan bayi, memotong tali pusat, memastikan bayi normal pendengaran dan lain-lainnya, dipastikan jantina bayi, akhirnya dipaksa agar bayi tadi menangis... barulah bayi tadi diberikan kepada si ibu. Hilang seketika segala sakit, azab, kepenatan amat sangat yang dilalui ketika hendak melahirkan sebentar tadi tatkala melihat wajah comel si bayi dan mungkin berkata dalam hati...
              "anak aku... anak aku dah lahir... alhamdulillah"

             Apakah perasaan anda ketika ini? Sedih? Terharu? Atau baru tersedar dengan pengorbanan, seksa dan azab yang dilalui oleh setiap insan yang bernama ibu sewaktu hendak melahirkan anak secara normal?Pernahkah anda bertanya pada ibu anda apakah yang ibu rasakan saat anda dilahirkan? Apakah harapan ibu pada anda ketika itu?
             Coretan ini adalah pengalaman yang ingin saya kongsikan dengan semua pembaca, saat isteri saya melahirkan anak pertama kami pada 19 Julai 2009, setelah menanti lama sejak kami berkahwin pada 27 Mei 2001. Setelah pelbagai cara dan kaedah dilakukan, sama ada perubatan moden dan tradisional, urutan, ubat, mengambil anak angkat dan sebagainya. Akhirnya, apabila kita balik kepada agama, doa jualah yang memberi kesan.
             Tidak dapat saya bayangkan bagaimana seorang ibu muda, akibat keterlanjuran dengan lelaki kekasih hati, terpaksa bersendirian melahirkan anak di dalam bilik sendiri, di bilik air, dan di tempat-tempat yang tidak pernah terfikir oleh diri ini. Menanggung seksa dan derita sendiri, menggagahkan diri untuk berjalan dalam terhuyung-hayang setelah melahirkan, sambil mengendong bayi comel yang cukup sifat, yang baru sahaja dilahirkan. Namun, tidak lama kemudian, tersiar di media massa dan elektronik, mayat seorang bayi dijumpai.
             Kepada murid-murid perempuan, anak-anak gadis, perempuan-perempuan, dan wanita-wanita yang membaca coretan ini, hargailah setiap saat yang dilalui. Setiap kali anda bersama-sama teman lelaki, apa jua yang anda lakukan, ingatlah coretan ini, ingat dan fikirlah betapa susah payahnya ibu melahirkan. Anda juga perempuan, dan anda juga akan melalui detik dan pengalaman yang sama. Mungkin yang membezakan adalah status anda sewaktu melahirkan. Adakah anda hendak bergelar isteri atau perempuan yang melahirkan anak luar nikah?
             Kepada murid-murid lelaki, jejaka-jejaka, teruna-teruna, jantan-jantan, pria-pria dan lelaki-lelaki pula, hargailah kehadiran kaum hawa di sisi, sama ada adik perempuan, kakak, ibu, teman wanita atau isteri. Ingatlah, sekali seorang wanita mencintai si lelaki, mereka rela melakukan segalanya, dibuktikan dengan sanggup bergadai nyawa melahirkan zuriat. Andai terlintas di dalam hati hendak merosakkan wanita lain, bayangkanlah jika orang lain melakukan perkara yang sama kepada keluarga anda.

Khamis, Mei 06, 2010

Bergaya ke Sekolah... Betul atau Salah?

Ternyata murid-murid sekolah zaman sekarang sememangnya bergaya apabila ke sekolah... Murid-murid lelaki dengan pelbagai gaya fesyen rambut yang ditiru bulat-bulat daripada artis dan juga idola masing-masing. Malah, ada juga murid lelaki yang memakai seluar sekolah yang diketatkan di bahagian kaki dan memakai seluar sekolah yang seolah-olah dilondehkan ke paras atas sedikit daripada punggung. Manakala murid perempuan pula dengan pemakaian celak dan bedak yang berlebihan, tudung dan kain baju kurung sekolah yang disingkatkan, pemakaian cincin dan lain-lain yang jika disenaraikan di sini akan mengambil masa untuk menaipnya.
          Persoalan utama yang harus diajukan kepada mereka, 'adakah mereka sedar status mereka sebagai murid sekolah ketika ini?' Sekiranya mereka sedar bahawa mereka adalah murid sekolah, seharusnya mereka perlulah bertingkah laku dan mematuhi peraturan-peraturan sekolah yang telah pun ada garis panduan bagaimana seharusnya penampilan seorang murid sekolah.
          Persoalan kedua pula ialah, 'adakah ibu bapa/ penjaga murid-murid sekolah ini tahu tingkahlaku dan penampilan anak-anak mereka ini salah dari segi peraturan sekolah?' Seandainya mereka tahu, bagaimana mungkin mereka boleh membenarkan anak mereka hadir ke sekolah dengan penampilan sedemikian? Tidakkah mereka pernah pergi ke sekolah? Adakah alasan mengikuti fesyen terkini boleh 'menghalalkan' segala tingkahlaku salah yang dibawa oleh anak mereka? Tidakkah mereka mahu anak-anak mereka tampil dengan imej kemas?
          Pelbagai cerita berkaitan tingkahlaku negatif murid sekolah yang dilaporkan sama ada di media cetak ataupun media elektronik seharusnya menjadi rujukan kepada murid-murid dan ibubapa/ penjaga dalam memilih kebebasan sama ada dalam berfesyen mahupun bertingkahlaku.
          Guru-guru sentiasa cuba untuk memupuk nilai-nilai murni di kalangan murid, sama ada dari aspek sahsiah, mahupun penampilan. Teguran-teguran yang diberi tidak mempunyai niat lain selain daripada menunjukkan tingkahlaku yang sepatutnya dipunyai oleh seorang murid sekolah. Walau bagaimanapun, sering kali tindakan-tindakan guru, khususnya guru disiplin di salah erti oleh ibubapa/ penjaga. Tugas seorang guru bukan hanya membentuk pengetahuan akademik murid, tetapi turut merangkumi sahsiah dan tingkahlaku murid. Ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pegangan setiap guru, iaitu ke arah melahir dan membentuk murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
          Suka saya mengajak semua pihak sama-sama main peranan agar generasi pelapis tampuk pemerintahan negara ini tampil dengan penuh berkarisma, kemas dan mempunyai jatidiri yang tinggi selain tidak mengabaikan ibadah dalam agama masing-masing. Hubungan akrab antara ibubapa/ penjaga dengan guru-guru penting untuk menunjukkan kepada murid bahawa mereka tidak mempunyai peluang dan ruang untuk melakukan kesalahan yang dikhuatiri pada akhirnya menjerumuskan mereka tingkahlaku negatif yang tidak terbendung jika lewat dibendung.
         
        

Rabu, Mei 05, 2010

Keliru Membuat Pilihan Tawaran Belajar?

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada lepasan SPM 2009 yang sudah pun menerima tawaran menyambung pelajaran.

Ketika ini, lepasan SPM 2009 pasti sudah menerima pelbagai tawaran belajar daripada pelbagai pihak, seperti tawaran Kolej Matrikulasi, Politeknik, program asasi dan diploma UiTM, temuduga IPG dan kemasukan Tingkatan Enam. Sebaik anda mendapat tawaran belajar, ternyata sebelah kaki anda telah pun menjejak anak tangga 'menara gading' yang diidam-idamkan selama ini.
         Sudah pastilah ibu bapa anda akan berasa bangga dengan kejayaan anda diterima untuk menyambung pelajaran. Walaupun mungkin ada sesetengah ibubapa atau imdividu yang mungkin memandang sebelah mata tawaran ke Tingkatan Enam atau Matrikulasi, sesungguhnya itu adalah juga haluan yang tepat untuk menyambung pengajian dalam arus mencapai cita-cita.
         Saya yakin, pada ketika ini, lepasan SPM 2009 pasti sedang sibuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ibubapa, keluarga, guru-guru, rakan-rakan dan sesiapa jua mengenai tawaran belajar yang telah mereka terima. Pasti bertambah sukar membuat pilihan setelah mendapat pelbagai nasihat dan maklumat daripada mereka yang saya sebutkan tadi.
         Justeru, suka saya berkongsi di sini sedikit tips bagaimana untuk menghilangkan kekeliruan yang timbul dalam membuat pilihan dalam menentukan tawaran belajar yang mana yang mahu dipilih:
  1. Fikirkan kemampuan diri sendiri- sekiranya anda sememangnya jenis pelajar/individu yang boleh dan mudah mengingat, menghafal, tahan lasak, kuat mental dan emosi, kritis dalam membuat analisis, masih sukakan suasana sekolah, anda sesuai untuk menyambung pelajaran di Tingkatan Enam kerana anda kena mengulangkaji untuk hampir 2 tahun sebelum anda menduduki STPM. Andainya anda inginkan perubahan dalam corak pengajian, anda bolehlah memilih untuk menerima tawaran kolej matrikulasi atau program asasi mana-mana universiti kerana peperiksaan pengajian mengikut semester. Habis satu semester, habislah tentang sesuatu subjek itu. Untuk semester lainnya, anda akan belajar mengenai subjek yang lain.
  2. Pilih bidang yang menghampiri minat dan personaliti anda- sekiranya anda adalah seorang ekstrovert, aktif, dan sosial, serta meminati aktiviti-aktiviti lasak, mencabar fizikal dan mental, suka berinteraksi dengan orang lain, maka anda pilihlah bidang yang melibatkan aktiviti luar, pergerakan dan komunikasi. Manakala bagi anda yang merupakan seorang introvert, kurang aktif (agak pasif), pemalu, berminat pada aktiviti dalam bilik, minat penyelidikan (aktiviti mencabar mental), kurang gemar aktiviti lasak dan kurang gemar berkomunikasi dengan individu lain, pilihlah bidang yang kebanyakkan masanya hanya melibatkan aktiviti kajian di makmal, pengiraan, perakaunan, penulisan dan yang bersesuaian. Sekiranya anda memilih sesuatu bidang yang tidak 'fit' dan sesuai dengan minat dan personaliti anda, dikhuatiri anda akan mudah tension dan sukar untuk menyesuaikan diri. Walaupun anda berjaya menamatkan pengajian nanti, adalah dikhuatiri anda akan rasa tidak selesa dan sukar bersaing dengan lepasan diploma atau ijazah yang sama dalam bersaing untuk pekerjaan.
Segala yang tercatat di sini hanyalah sekadar panduan semata-mata. Segala-galanya terletak di tangan anda untuk memilih haluan anda dalam mencapai cita-cita.  Pilihlah dengan bestari supaya anda tidak menyesal di kemudian hari. Kepada yang gagal mendapat mana-mana tawaran biarpun mendapat keputusan SPM yang agak baik, jangan kecewa. Cuba lagi mohon untuk rayuan atau ambilan seterusnya.

Semakan Tawaran ke Kolej Matrikulasi

Perhatian kepada lepasan SPM 2009 yang telah memohon Kolej Matrikulasi dan belum membuat penyemakan, sila berbuat demikian di pautan yang dilampirkan.

Panduan Semakan Tawaran Kolej Matrikulasi

1. Sila masuk ke portal Kementerian Pelajaran Malaysia dan lihat ke bawah (scroll down) e-Perkhidmatan KPM (Perkhidmatan Atas Talian).

2. Klik Matrikulasi (gambar 1).

3. Tetingkap Semakan Tawaran Kolej Matrikulasi akan muncul.

4. Masukkan nombor kad pengenalan anda dan tekan Semak.

5. Sekiranya anda berjaya, anda akan mendapat surat tawaran rasmi Kolej Matrikulasi dan ikutilah panduan yang diberikan untuk urusan pendaftaran.

SELAMAT MENJALANI KEHIDUPAN SERBA BARU SEBAGAI PELAJAR MATRIKULASI!

Semakan Tawaran ke Tingkatan Enam 2010

Perhatian kepada lepasan SPM 2009, anda diminta untuk menyemak di pautan yang diberi. Pendaftaran untuk Tingkatan Enam 2010 bermula 10 Mei 2010 (Isnin). Kepada yang menunggu tawaran daripada institusi pengajian lain, dinasihatkan agar melapor diri di Tingkatan Enam yang ditetapkan terlebih dahulu kerana jika tidak, kekosongan akan diisi oleh orang lain.

Panduan menyemak status tawaran Tingkatan Enam 2010

1. Masuk ke portal Kementerian Pelajaran Malaysia di http://www.moe.gov.my/ dan lihat Pemberitahuan.

(gambar 1)

2. Klik pada 'Semakan Tawaran Kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah 2010' (gambar 1).

(gambar 2)

3. 'Scroll down' / lihat ke bawah dan klik pada pautan yang disediakan seperti yang diberitahu (gambar 2).

4. Tetingkap baru akan muncul dan isikan nombor kad pengenalan anda, kemudian tekan Klik Untuk Semak(gambar 3).

5. Sekiranya anda berjaya, anda akan menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah menyatakan bahawa anda telah mendapat tawaran dan diminta mengambil surat tawaran di pejabat sekolah (selewat-lewatnya 7 Mei 2010 (Jumaat) ini) atau anda boleh cetak sendiri.

SELAMAT MENYAMBUNG PENGAJIAN DI TINGKATAN ENAM!