Kata-kata Aluan

GURU-GURU SMK GEMAS TAHUN 2011

Isnin, Ogos 22, 2011

Menjelang Syawal... Menghitung Tarikh PMR / SPM


 
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Saat saya menulis artikel ini, umat Islam di Malaysia berada pada malam Ramadhan yang ke-23. Salah satu malam ganjil dalam 10 malam terakhir. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan kesihatan hingga detik ini untuk terus hidup di muka bumi Allah yang luas ini dengan satu tujuan... beribadat ke atasNya dalam apa jua yang dilakukan.

Dalam 10 hari terakhir ini, umat Islam kelihatan berbondong-bondong ke toko-toko besar, pasaraya-pasaraya, pasar-pasar malam, uptown, downtown, kedai-kedai dan lain-lain tempat untuk berbelanja membeli keperluan, pakaian dan perhiasan sempena menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang. Tanpa mengira usia, baik tua mahupun muda, semuanya kelihatan sibuk berbelanja. Apatah lagi dengan pemberian imbuhan ikhlas setengah bulan gaji oleh kerajaan kepada kakitangan awam, merancakkan lagi perancangan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Bapa-bapa sibuk membelek kenderaan masing-masing. Ada yang menghantar servis, menukar tayar dan rim, menambah aksesori kenderaan dan lain-lain lagi. Tidak kurang juga yang menukar cat rumah masing-masing, menambah keluasan rumah, memasang 'tiles', 'plaster ceiling', 'kitchen cabinet' dan macam-macam lagi.

Ibu-ibu pula sibuk menyediakan persiapan baju raya, kuih raya dan hiasan raya. Beberapa bulan sebelum Ramadhan, kain-kain telah terlebih dahulu dihantar kepada tukang jahit untuk menempah baju raya. Bagi yang menjahit sendiri baju, ruang tamu rumah bersepah dengan bidang-bidang kain pelbagai corak, buku-buku fesyen, benang, mesin jahit, pita ukur, pin baju dan segala yang berkaitan dengan jahitan...
              Manakala para ibu yang menyediakan hidangan kuih raya, dapur-dapur dipenuhi dengan segala jenis tepung, telur, pewarna, mangkuk, acuan kuih, oven dan lain-lain... sanggup berjaga hingga ke awal pagi untuk menyiapkan tempahan biskut-biskut (bagi yang mengambil tempahan biskut).
              Bagi kalangan yang mempunyai bajet lebih, fokus pastilah untuk menghias rumah dengan menukar langsir, sarung kesyen, set sofa dan sebagainya. Hiasan rumah mengikut citarasa dan kemampuan kewangan masing-masing.

Anak-anak pula dengan cara tersendiri dalam menyambut Syawal pada hari-hari terakhir Ramadhan ini. Saat ibu bapa leka dengan 'keasyikan' masing-masing, anak-anak mengambil kesempatan dengan bermain mercun, bunga api dan meriam buluh. Tidak dilupa juga kalangan anak muda yang berlumba haram dan 'berembun' dengan pasangan masing-masing hingga berakhir di hotel-hotel dan rumah-rumah tumpangan.

Di manakah anak-anak muda ini saat malam tiba? Terutama golongan remaja yang masih di alam persekolahan, baik anak lelaki mahupun anak perempuan. Saya sendiri berasa sangat kecewa kerana ada di kalangan murid (khususnya calon-calon PMR dan SPM) yang mengambil jalan mudah dengan berhenti sekolah tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang dalam kitaran hidupnya.

Suka saya ingin coretkan di sini, hidup kita ini penuh dengan pelbagai pilihan hinggakan kita acapkali tersilap memilih dan memilih ikut kata hati, bukan secara rasionalisasi. Jadikanlah kisah Michael Jackson sebagai pengajaran dan renungan kita. Kemasyhurannya memang diakui di seluruh dunia... namun, beliau adalah antara contoh individu yang 'dewasa sebelum masanya'. Terkenal sejak kecil bersama kumpulan Jackson Five, pergaulan dan pergerakan dikawal, alam kanak-kanak dan remajanya dikesampingkan, hingga akhirnya, Michael Jackson tenggelam dalam dunia ciptaannya sendiri.

Kepada calon-calon PMR, tempoh masa yang tinggal dalam lingkungan 5 minggu ini, gunalah dengan sebaik mungkin. Tidak ada istilah terlambat untuk memulakan ulangkaji biarpun disedari telah lama ketinggalan. Sesungguhnya langkah pertama itu memang susah untuk dilakukan atas pelbagai sebab dan alasan, tetapi apabila telah mula masuk ke 'gear' ketiga, keempat. dan kelima, pastinya anda akan selesa kemudiaanya untuk mengulangkaji.

Begitu jugalah halnya dengan calon-calon SPM. Jangka masa 9 minggu yang berbaki ini sangat penting untuk diisi dengan ulangkaji yang sedikit tapi konsisten.

Bagaimana kaedah untuk melakukannya? Itu anda kena temui sendiri Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah. Yakinlah, anda mampu melakukannya!

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya murid-murid SMK Gemas dan mereka yang mengenali saya. Ampunkan salah silap sekiranya ada tersinggung kata dan tersalah bicara...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan